Powered by Bravenet Bravenet Blog

10-4-2007

5:16 PM (2785 days, 14h, 52min ago)

.... baca ayat .. trus bleh bersilat!!

Syahadah dalam silat
Bersama: DR. AMRAN KASIMIN

SOALAN:
 Saya mengikuti ruangan ini dengan begitu minat. Kali ini saya membuat keputusan meluahkan apa yang saya pelajari selama ini, iaitu lebih daripada empat tahun, ilmu persilatan yang ustaz jelaskan di mana ia melibatkan jin atau jin-jin yang meresap dalam tubuh, membolehkan seseorang itu bersilat, biarpun sebelum itu tidak pernah mempelajari ilmu persilatan secara praktikal.
 
Setiap kali di gelanggang, kami mengucap dua kalimah syahadah 10 kali. Al-Fatihah dan diikuti dengan membaca: Ya Allah, Tuhan semesta alam, yang menjadikan segala-galanya 7 petanda langit dan bumi. Ya Allah kau kabulkan permohonanku. Assalamualaikum langit. Assalamualaikum bumi. Ya Allah engkau kabulkan aku bermain silat yang sesuai dengan jasadku. Moga dijauhkan daripada bala ke atasku, juga semua saudaraku.
 
Dalam hati mesti sentiasa ingat kalimah lailahaillallah. Apabila seseorang itu betul-betul khusyuk dan syahdu, anggota badan akan bergerak dengan langkah-langkah seperti bermain silat. Apabila membaca lailahaillallah, badan kita dilindungi daripada resapan syaitan. Adakah ini bertentangan dengan akidah?
 
Kami diajar agar menggunakan akal dengan baik. Itulah keistimewaan yang ada pada manusia. Apabila manusia berada dalam keadaan mindanya yang bergerak dengan perlahan, derianya menjadi sensitif terhadap alam sekeliling.
 
Kami tidak meninggalkan sembahyang lima waktu, tidak boleh melawan guru atau teman seperjuangan. Semoga ustaz dapat menghuraikan kemusykilan saya, juga rakan-rakan yang mempelajari ilmu seperti ini. – Ana musykil.
 
JAWAPAN:
Tidak dinafikan mempelajari ilmu mempertahankan diri itu sesuatu yang baik, menanam keyakinan diri, mempelajari bagaimana boleh menguasai diri, untuk menjadi seseorang yang lebih berhemah, berupaya menangani sesuatu yang mendatang termasuk sesuatu yang berlaku di luar dugaan. Apabila ia disatukan dengan pertimbangan akal, maka ia akan membentuk syahsiah yang mulia. Segala-galanya berlaku menurut keupayaan fizikal diri, juga akal yang dapat memikir.
 
Saudara pada hakikatnya mempelajari ilmu, yang saudara sendiri pun tidak yakin apa sebenarnya ilmu yang saudara pelajari dan praktikkan. Saudara merasai bahawa saudara didedahkan dengan cara menghargai dan menggunakan akal dengan lebih baik.
Saya sebenarnya tidak faham apa yang dimaksudkan bahawa “saudara didedahkan dengan menghargai dan menggunakan akal dengan lebih baik dengan cara bersilat” yang saudara sendiri pun tidak tahu bagaimana saudara boleh bersilat, padahal sebelum itu saudara tidak pernah mempelajari ilmu persilatan.
 
Cuba saudara fikir baik-baik, teliti dengan akal, apakah yang dimaksudkan “minda yang bergerak perlahan.” Apa yang dimaksudkan “derianya menjadi sensitif terhadap alam sekeliling.” Dalam hujah ini, saudara diberi contoh kepada makhluk nyamuk yang terbang bunyinya kuat, padahal masa fikiran kita tengah bergerak dengan laju, kita tidak perasan pun benda sebegitu. Saya tidak faham “apa kaitan tentang deria yang menjadi sensitif dengan nyamuk yang terbang, yang bunyinya kuat.” Apa pula kaitan nyamuk yang terbang itu dengan ilmu persilatan yang dipelajari.
 
Saudara mengikuti tulisan saya dalam kolum ini dengan penuh minat dan prihatin. Terima kasih. Saya sendiri pun bukan menyalahkan saudara kerana saudara mempelajari ilmu-ilmu seperti ini. Namun demikian apabila sesuatu yang kita pelajari itu tidak difahami, tidak diyakini dan menimbulkan rasa ragu hasil daripada pembacaan saudara terhadap tulisan saya, saudara perlu memikirinya dengan serius.
 
Saudara diajar untuk menghargai dan menggunakan akal dengan lebih baik kerana keistimewaan itu hanya ada pada manusia sahaja. Kerana itulah maka, apabila akal yang diberi oleh Allah itu memberi rangsangan.
Selain daripada konsep-konsep dan penerangan yang tidak jelas, seseorang itu boleh tertarik atau terpesona dengan mempelajari ilmu kebatinan ini kerana adanya unsur-unsur Islam dalam amalan tersebut. Melibatkan bacaan dua kalimah syahadah, al-Fatihah.
 
Dan sebelum bersilat doa dipohon kepada Allah, Tuhan semesta alam yang menjadikan segala-galanya, diikuti dengan salam kepada langit dan bumi, yang diakhiri dengan permohonan agar dijauhkan daripada bencana diri, juga semua mereka yang terlibat dengan ilmu persilatan.
 
Dalam hati sentiasa mengingati kalimah lailahaillallah, dengan rasa khusyuk. Dengan demikian maka proses silat berlaku. Akal yang waras dapat berfikir apa hubungannya sebutan kalimah syahadah dengan pergerakan silat yang datang dengan sendiri di luar kawalan, padahal sebelum itu orang yang berkenaan tidak pernah mempelajari ilmu persilatan.
 
Walaupun seseorang itu boleh berasa yakin bahawa pergerakan persilatan itu adalah “maunah” (pertolongan) daripada Allah kerana dalam pemikiran mereka yang terlibat telah diyakinkan bahawa apabila seseorang itu membaca “lailahaillallah”, jasad seseorang itu akan dilindungi daripada resapan iblis dan syaitan. Kerana itu, apa yang berlaku tidak ada kaitan dengan resapan makhluk itu.
 
Soalan utama yang perlu kita fikir ialah bagaimana seseorang yang tidak pernah mempelajari ilmu persilatan itu boleh bersilat selepas membaca kalimah syahadah, juga kalimah-kalimah lain? Tidak ada alasan yang jelas lagi kukuh bahawa seseorang itu boleh bersilat apabila ia berada dalam keadaan bergerak perlahan dan derianya yang sensitif terhadap alam sekeliling.
 
Alasan yang diberi hanya rekaan semata-mata yang tidak mudah difahami. Walaupun demikian terdapat juga hadis yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan boleh berlari dalam tubuh manusia melalui pembuluh darah.
 
Lebih jelas lagi diperkatakan bahawa jin atau jin-jin itu berupaya meresap dalam tubuh manusia, berjalan menurut pembuluh darah, dengan izin Allah s.w.t menggunakan tubuh manusia, termasuk pancaindera tangan, kaki, lidah dan sebagainya. Lalu bertindak melakukan sesuatu, menurut keperluan atau tujuan untuk melakukan rawatan tradisional, untuk bersilat seperti yang saudara lakukan, untuk persembahan teater tradisional, seperti tarian bubu, tarian kuda kepang dan sebagainya.
 
Kecelaruan timbul bagaimana seseorang yang membaca doa-doa, termasuk ayat-ayat al-Quran boleh didatangi atau diresapi oleh jin. Inilah sebenarnya persoalan yang menjadi tanda tanya dan soalan yang mengelirukan, biarpun bagi mereka yang melibatkan ilmu seperti ini kewujudan unsur-unsur ini meyakinkan diri bahawa apa yang terjadi adalah sesuatu yang benar, daripada Allah.
 
Bacaan ayat-ayat al-Quran, juga doa-doa yang dibaca oleh seseorang tidak menjamin iblis dan syaitan itu tidak boleh meresap, dalam tubuh manusia, biarpun tidak dinafikan bahawa iblis dan syaitan yang menghuni atau mengganggu seseorang itu boleh keluar apabila dibacakan dengan ayat-ayat al-Quran atau doa-doa dengan izin Allah.
 
Lebih jauh daripada itu, atau lebih mengelirukan apabila jin yang meresap dalam tubuh itu boleh membaca al-Quran, bersama-sama membaca ayat al-Kursi yang dibaca oleh orang yang melakukan rawatan, pada hal makhluk tersebut bukan Islam.
 
Memang terdapat mereka yang terlibat dengan amalan kebatinan mempertahankan diri seperti ini berubah sikap tidak meninggalkan sembahyang lima waktu, berpuasa, rajin ke Mekah menunaikan umrah, bersedekah dan sebagainya. Dunia kebatinan Melayu berupaya membentuk manusia atau syahsiah diri menjadi baik.
 
Melakukan sembahyang lima waktu, sehari semalam adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang cukup syaratnya, iaitu Islam, baligh, berakal, sejahtera pancaindera, tidak buta dan tuli, sampai seru juga lain-lain syarat seperti yang termaktub dalam kitab-kitab fikah.
 
Tidak kira sama ada seseorang itu mempelajari ilmu persilatan atau tidak terlibat dengan ilmu ini, apabila syarat-syarat wajib menunaikan sembahyang itu wujud pada diri seseorang, maka wajib baginya menunaikannya dan sama sekali tidak boleh meninggalkannya biarpun satu waktu.
 
Begitu juga dengan syarat-syarat lain, seperti tidak boleh melawan guru, bergaduh sesama rakan seperguruan, tidak boleh menunjuk-nunjuk. Tanpa mempelajari ilmu ini, Islam memang melarang seseorang itu bergaduh ataupun berperang.
 
Islam menggalakkan umatnya berpuasa, puasa hari Isnin, Khamis atau puasa Nabi Daud. Pada hakikatnya kewujudan syarat-syarat tersebut diadakan semata-mata untuk menarik seseorang itu mempelajarinya, tetapi dalam masa yang sama ia menimbulkan kecelaruan.
 
Perlu saya perjelaskan bahawa mempelajari ilmu persilatan adalah baik atas alasan seperti yang dijelaskan. Namun apabila ia melibatkan makhluk-makhluk halus, yang diseru dipanggil melalui pengijazahan ia ada kalanya akan menimbulkan masalah pada diri orang yang terlibat.
 
Makhluk ini, iaitu jin atau jin-jin, diseru atau dipanggil meresap dalam tubuh membolehkan seseorang itu bersilat. Dan apabila makhluk ini keluar, individu berkenaan tidak boleh bersilat, kecuali ia mempelajarinya secara fizikal dan praktikal.
 
Makhluk ini adalah musuh manusia. Al-Quran menjelaskan adanya golongan manusia yang memohon pertolongan daripada jin-jin dan jin-jin ini akan lebih menyesatkan lagi.
 
Allah juga menjelaskan bahawa jin atau jin-jin ini meresap atau turun ke atas mereka yang banyak melakukan dosa lagi penipu.
 
Dan yang paling bahaya ialah, oleh kerana makhluk ini sedia mempunyai laluan untuk meresap dalam tubuh, makhluk ini akan masuk dalam tubuh, biarpun tidak dipanggil, mengganggu otak, hati atau menguasai diri seseorang, yang boleh menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri, terutamanya ketika badan uzur, roh tidak kuat, ketika berhadapan dengan pelbagai masalah berpanjangan, ketika stres dan sebagainya.
 
Ini adalah di antara kesan fizikal, yang mungkin boleh berlaku ketika seseorang itu hidup di dunia yang akhirnya melibatkan iman seseorang terhadap Tuhannya.
 
Mingguan Malaysia 8 April 2007
 
<<<<<<<<<<<<  ®  v  ®  >>>>>>>>>>>>
** catatan
  w@gim@n**
Jika anda bercadang untuk menyebar atau menyalin atau menempek artikel ini dimana mana blog atau media cetak pastikan anda meletakkan nama asal penulis dan penerbit artikel dan jangan lupa url (http://) dimana  artikel ini di salin. Sebarang penerbitan semula bagi tujuan komersil hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada penulis atau media/syarikat dimana artikel ini diterbitkan. Sebarang tindakan mahkamah daripada pihak berkenaan adalah diluar tanggungjawab pemilik blog ini.

Contoh: 
Penulis:  Dr Amran Kasimin 
Terbitan asal: Mingguan Malaysia online 8 April  2007
url artikel:
http://grenbara.bravejournal.com/entry/21900

   2006 - 2007 ® Hak cipta Selebet International ™

0 komen.

There are no comments to this entry.

Post New Comment

No Smilies More Smilies »
Please type the letters you see